Jenis-Jenis Batik

Batik ialah salah satu daripada cabang seni penghasilan kain dalam industri tekstil. Tekstil warisan ini terus berkembang dan turut mengalami perubahan terutama pada teknik pembuatan, reka corak, warna dan penggunaan bahan. Maka dari situ terhasillah pelbagai jenis batik sehingga ke hari ini. Antara jenis-jenis batik ialah:

Batik Blok

Batik blok dikenali sebagai batik terap, batik cap atau batik pukul. Batik blok dihasilkan menggunakan blok kayu atau blok besi atau tembaga. Blok yang diukir timbul dengan corak-corak menarik digunakan untuk menerap kain. Blok dicelup ke dalam pewarna sebelum diterap ke atas kain. Teknik blok ini adalah antara teknik yang terawal digunakan dalam pembuatan batik.

Batik Canting

Batik canting juga dikenali sebagai batik lukis atau batik tulis. Batik canting ialah batik yang dilukis tangan menggunakan kaedah mencanting; iaitu campuran lilin cair dimasukkan ke dalam alat canting dan kemudian dilakar di atas permukaan kain dasar yang diregang di atas pemidang. Proses mencanting ini dilakukan bagi membentuk motif dan reka corak batik yang telah dilukis. Batik canting atau batik lukis ini adalah batik yang paling popular sehingga ke hari ini kerana corak dan motifnya yang unik dan eksklusif. 

Batik Ela

Batik ela ialah batik blok yang dihasilkan dalam ukuran yang panjang serta boleh dipotong dan dijahit untuk dijadikan pakaian. Batik ela dijual secara ela dan mengikut keperluan dan kehendak pengguna. Corak batik ela lebih bebas dari ciri-ciri tradisional dengan penggunaan warna yang lebih menarik.

Batik Pelangi

Batik pelangi ialah batik yang berwarna-warni yang dihasilkan menggunakan teknik ikat celup yang juga dikenali sebagai teknik pelangi. Kain putih diikat dan disembat mengikut corak yang telah dirancang dan kemudian dicelup ke dalam pewarna. Proses mengikat dan mewarna ini dilakukan berulang kali. Bahagian yang diikat dan disembat ini aalah kalis airdan akan menghaasilkan ragam hias pelangi yang unik dan menarik.

Batik Sarung

Batik sarung ialah pakaian harian masyarakat tempatan di Malaysia. Batik sarung biasanya digayakan sama ada dengan baju kurung, baju Kedah, baju kebaya labuh atau kebaya pendek. Kain batik sarung diperbuat sama ada menggunakan teknik blok, canting atau cetakan skrin. Rupa bentuk kain batik sarung terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kepala, badan dan kaki (gigi) kain.

Batik Skrin

Batik skrin juga dikenali sebagai batik stensil atau batik sutera saring. Batik jenis ini merujuk kepada teknik lakaran corak dan terapan warna dilakukan di atas skrin yang diperbuat daripada poliester yang diregang di atas pemidang. Motif-motif dilukis di atas skrin yang diperbuat daripada kain organdi menggunakan sejenis bahan yang dipanggil lakuer (lacquer) yang berfungsi sebagai stensil pada pemidang berkenaan. Bagi menghasilkan sehelai kain batik skrin, beberapa keping pemidang dengan corak yang berbeza diperlukan.

Sumber Rujukan:

Ensiklopedia Kraf Malaysia

Cetakan Pertama 2012

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

Share Button

3 thoughts on “Jenis-Jenis Batik

  1. Terima kasih, info yang bagus. Semua yang saya nak dah dapat.. selesai sudah kerja2 dan tugasan saya.. terimakasih skali lagi❤✌

  2. Wau terima kasih banget atas informasi yang diberi.
    Gue dapat selesaikan tugasan mama gue di Maktab
    Alhamdulillah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*