Batik corak futuristik lebih berani?

Batik adalah warisan turun temurun nusantara. Melalui pemodenan batik penggiat industri batik kini telah mempelbagaikan rekaan mereka agar nampak lebih menarik dan moden. Corak dan motif terbaru hasil dari pemodenan batik ini dikenali sebagai corak futuristik.

futuristik1

Batik corak futuristik lebih berani

Sempena Hari Kraf Kebangsaan 2014, koleksi batik futuristik memperlihatkan penggunaan garisan lurus, melengkung dan bertindih dalam pelbagai saiz. Ia berkonsepkan futuristik yang menggambarkan kepantasan dan pergerakan motif atau reka corak dalam penghasilan batik.

Namun, unsur tradisional masih dikekalkan de­ngan olahan bentuk yang lebih digemari. Dari segi pilihan warna, futuristik lebih memberi tumpuan kepada warna tegas, berani, hangat, terang selain menggabungkan warna segar.

Dalam memenuhi keperluan itu, pengeluaran produk batik terbahagi kepada kategori tertentu seperti fesyen pakaian, aksesori tekstil dan produk hiasan dalaman. Fesyen pakaian menyediakan rekaan tekstil yang dalam bentuk sedia untuk dipakai dan boleh disesuaikan mengikut acara dan gaya formal seperti formal, kasual, korporat, Muslimah, tradisional dan fesyen kanak-kanak.

Aksesori tekstil pula membabitkan beg tangan, skaf, kasut, selendang, tali leher dan mafla. Begitu juga dengan produk hiasan dalaman khususnya kemasan lembut untuk kegunaan ruang di dalam rumah atau pejabat. Ini termasuk set kusyen, alas meja, alas pinggan, hiasan dinding, tirai hiasan dan arca tekstil.

futuristik2

Warna dan rekaan lebih moden, sesuai ke pasaran antarabangsa

Kebiasaannya pengeluar batik mengetengahkan rekaan inspirasi flora dan fauna sebagai motif utama. Bagaimanapun, demi mempelbagaikan pasaran ke peringkat antarabangsa, pengeluar batik menyuntik elemen futuristik. Ternyata rekaan itu juga sudah diterima dalam pasaran tempatan dan menunjukkan kelainan dalam penampilan si pemakai.

Sebahagian pengeluar batik menampilkan ilham abstrak sempena mengambil inspirasi Itali. Motif itu dipertingkatkan dan diperhebatkan dengan menggunakan warna berani iaitu hitam, jingga, merah dan sebagainya.

Rekaan ini menyaksikan beberapa transisi dengan teknik pembuatan blok, lukis dan teknologi cetakan digital. Karya dan usaha untuk membawa pembaharuan dalam industri batik ini pernah ditolak. Namun mereka terus berusaha dan tidak pernah berputus asa.

futuristik4

Guna mesin berteknologi tinggi

Ada pengeluar batik yang menempuh laluan sukar lantaran penerimaan kurang memberangsangkan masyarakat terhadap motif batik moden. Kebanyakan pembeli batik masih dibelenggu dengan corak lazim flora dan fauna serta menganggap motif moden yang cuba diserapkan terlampau terkehadapan. Pengeluar batik tersebut tidak pernah berputus asa, sebaliknya memberanikan diri melabur wang membeli mesin berteknologi tinggi dari Itali.

Maka bermulalah era pembuatan batik digital menggantikan teknik blok yang mengambil masa lama untuk disiapkan. Penggunaan mesin berteknologi tinggi mampu menghasilkan kira-kira 800 pasang kain dalam masa 12 jam dan mampu mengeluarkan kira-kira 200 hingga 300 meter fabrik setiap jam. Mesin digital ini juga boleh menghasilkan corak dan lakaran moden.

Semuanya boleh diadakan menerusi teknologi digital. Misalnya, menerusi teknik lukisan batik, campuran kuning dan biru menghasilkan hijau tetapi kini, keupayaan penghasilan warna tiada titik akhir. Mesin digital membantu menghidupkan lukisan tiga dimensi yang menjadi sebahagian kriteria batik bermotif futuristik.

futuristik3

Warna lembut, motif geometri

Sesetengah usahawan batik mengisi keperluan tema futuristik menerusi kombinasi corak garisan, petak, kiub dan geometri, diiringi latar belakang warna lembut dan pastel. Selain menepati cita rasa golongan muda, rekaan seumpamanya bakal mengubah persepsi masyarakat terhadap industri batik tempatan suatu hari nanti.

Rekaan ini bakal menjadi kayu ukur estetika batik pada masa depan. Corak geometri paling sesuai menggambarkan batik futuristik, sekali gus menenggelamkan sama sekali motif bungaan yang mendokong ilham dan pilihan corak batik selama ini.

Selain warna redup seperti pastel, generasi muda turut memilih warna kontra untuk menyerlahkan gaya mereka. Batik lukisan tangan sememangnya nampak eksklusif, namun teknologi blok juga berupaya menyerlahkan lagi keindahan motif batik.

futuristik6

Lakaran corak luahan emosi

Karya futuristik juga disifatkan hasil ledakan kemarahan dan jiwa memberontak masyarakat Eropah kurun ke-19 terhadap pembangunan luar kawalan, sebelum diadaptasikan ke dunia fesyen. Rasa marah yang meluap-luap itu diterjemahkan menerusi warna terang dan garang seperti merah, jingga, hijau dan sebagainya.

Kehadiran warna bukan saja memberi nafas baharu dunia fesyen, bahkan ditakdirkan saling menyokong misalnya, keupayaan jingga yang membuatkan biru tampil menyerlah, manakala menerusi teknik campuran, muncul hijau yang mencabar kelaziman hijau biasa. Pereka barat juga mencuba warna pastel dan lembut dalam menghidupkan konsep futuristik.

futuristik5

Gabungan warna pelik

Bagi memperincikan ilham futuristik, pengeluar batik banyak bermain dengan corak geometri, selain menampilkan kesinambungan cubisme yang pernah menjadi tema Kraftangan tahun lalu.

Untuk menghasilkan rekaan batik yang jauh berbeza, pengeluar batik banyak merujuk internet, selain melakukan pengamatan hasil karya seni tokoh pereka Eropah lampau. Dari situ, mereka menemui kecenderungan artis zaman itu yang gemar menonjolkan unsur pop art, selain mengetengahkan gabungan warna pelik bertujuan menarik perhatian. Mereka juga memperbanyakkan motif abstrak yang kini kian mendapat sambutan.

Boleh pergi jauh

Industri batik boleh melangkah jauh dengan syarat pengkarya dan pengeluar batik tidak meminggirkan cita rasa pelanggan dan mengikut fesyen semasa. Bukan semua orang berani mengetengahkan warna menjolok mata dan terbukti warna itu indah diabadikan pada fabrik.

Share Button

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*