Apa itu batik blok (batik block)?

cth batik block2Apa itu batik blok (batik block)? Secara umumnya masyarakat hari ini lebih mengenali batik lukis berbanding batik blok ini. Tahukah anda? Batik blok ini adalah batik yang terawal dihasilkan di Malaysia sebelum penghasilan batik lukis.

Batik blok ialah batik yang dihasilkan menggunakan blok atau cap. Batik blok juga dikenali sebagai batik terap, batik cap atau batik pukul. Ia adalah antara teknik yang terawal digunakan di Malaysia dalam penghasilan batik. Bongkah kayu yang diukir dengan corak-corak menggunakan teknik ukiran timbul dijadikan sebagai acuan atau blok untuk menerap kain. Teknik yang dikenali sebagai ‘terap hitam’ digunakan iaitu blok dicelup ke dalam pewarna hitam sebelum diterap ke atas permukaan kain.

Masyarakat Melayu Kelantan terlebih dahulu mempunyai kemahiran mengecap kain menggunakan blok kayu dan bahan pewarna ini. Warna-warna asas seperti hitam, merah dan biru digunakan dalam proses menghasilkan kain cap atau batik cap ini.

Penggunaan lilin mula diperkenalkan pada tahun 1930-an oleh pembuat batik di Pantai Timur. Blok yang diperbuat dari besi atau tembaga mula diperkenalkan bagi menggantikan blok kayu kerana blok daripada kepingan logam dapat menghasilkan batik yang lebih halus, cantik dan kemas hasil terapannya.

block metal

Batik blok biasanya digunakan untuk menghasilkan kain sarung. Sekurang-kurangnya tiga buah blok diperlukan dalam menghasilkan sehelai kain sarung; blok bahagian badan, kepala, kaki dan kapit kain. Setiap blok direka berbeza dari segi ukuran, motif dan corak mengikut keperluan bahagian- bahagian kain sarung yang akan diterap.

org tgh cop batik2

Unsur-unsur alam semulajadi diadaptasikan dalam menghasilkan motif-motif batik blok. Kebiasaanya corak flora digunakan dan digubah secara realistik, abstrak atau geometrik. Wanita-wanita tempatan, khususnya wanita Melayu, Nyonya dan Chetti memakai kain batik bersama busana tradisional masing-masing.

Anjakan paradigma telah berlaku dalam perusahaan batik blok tempatan, seiring dengan kemajuan teknologi semasa, penambahbaikan telah dilakukan terhadap reka corak, penggunaan bahan dan warna mengikut citarasa pengguna dan peredaran masa.

Batik blok telah dijadikan fesyen yang eksklusif oleh para pereka fesyen tempatan dan luar negara. Penggunaan batik blok telah diperluaskan dengan mengetengahkan idea dan inovasi baru oleh pereka dalaman. Pelbagai dekorasi dalaman dihasilkan terutama untuk ruang tamu, bilik tidur dan ruang makan seperti alas meja, cadar, sampul bantal dan sebagainya.

Sumber Rujukan:

Ensiklopedia Kraf Malaysia

Cetakan Pertama 2012

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

Share Button

One thought on “Apa itu batik blok (batik block)?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*